Thursday 4 April 2013

Telling Your Parents. How, When and Where?

Sesetengah orang lebih suka menyimpan sendiri rahsia hitam dari pengetahuan keluarga. Mungkin malu dan rasa takut disisihkan dek penerimaan setiap keluarga terutama ayah dan ibu. Tidak semua ibu bapa boleh menerima kesalahan yang dilakukan anak-anak, tambah lagi apabila anak mereka ada suatu hadiah yang tidak ada penyembuhnya, malahan mampu berjangkit.

Hal memberitahu ibu bapa ini perlu dilihat dari beberapa sudut sudut. Pastikan perkara dibawah ini dulu sebelum memutuskan untuk membuka rahsia.

1. Kenapa nak beritahu? Apa yang kita mahukan dari mereka dengan mendedahkan status kita?
2. Adakah kita sudah bersedia untuk menerima reaksi mereka? Sebab reaksi orang lain adalah sesuatu yang kita tak mampu kawal.
3. Adakah kita sudah benar-benar yakin dengan kuasa Allah yang akan membantu kita melancarkan lisan untuk berkata-kata, dan membuka hati ayah ibu kita untuk menerima? -paling penting.
4. Bersedia dengan back-up plan, jika sesuatu yang negatif/buruk berlaku? Worst case scenario?

Jika sudah pasti dan yakin dengan 4 perkara di atas dan mempunyai statement yang jelas untuk menjawab setiap soalan, kita sudah bersedia. Jika masih ragu-ragu, cari dulu kekuatan diri, ilmu yang mendalam dan bercakaplah dengan mereka yang telah berjaya melepasi stage ini.

Aku senaraikan beberapa langkah yang aku fikirkan sesuai dibawah berdasarkan pengalaman, pembacaan dan panduan yang diberikan oleh sahabat-sahabat yang lebih berpengalaman. Untuk memulakan bicara, pastikan diri kita tahu dan faham situasi yang bakal kita hadapi dengan 3 langkah asas ini; bagaimana (how), bila (when) dan dimana (where).

How?

1. Pastikan diri kita sudah bersedia dengan segala ilmu yang diperlukan untuk menjawab semua soalan yang akan ditanya. Contoh soalan yang akan diutarakan; Dapat dari mana? Berapa lama boleh hidup? Ada sakit mana-mana tak? Macam mana nak kahwin? Boleh berjangkit kat orang lain tak?

Sediakan skrip jawapan-jawapan untuk soalan-soalan ini. Bukan susah sangat, jika kita betul-betul faham dengan hadiah Allah ini, senang sahaja untuk menjawab.

2. Kawal perasaan. Jangan menangis dan bercakap dalam nada sedih. Kerana dalam situasi ini, yang akan bersedih adalah ibu bapa, dan kita perlu menjadi penenangnya. Tunjukkan yang kita bersemangat dan positif.

3. Mulakan perbualan dengan doa yang dibaca oleh Nabi Musa A.S ketika berhadapan dengan Firaun. Menurut Al-quran, ketika Nabi Musa diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan seruan tauhid kepada Firaun dan pengikutnya, baginda telah berdoa untuk dibebaskan dari rasa gugup dan takut, dilapangkan dada, dilancarkan lisannya dan dipermudahkan urusannya. Bacalah doa ini sebelum kita memulakan bicara dengan ibu bapa kita.



Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku; (Surah Taha; 20:25-28)


When?

1. Bila mereka dalam keadaan tenang dan good mood. Belikan sesuatu (hadiah) untuk mengambil hati mereka.
2. Dalam keadaan mereka tak boleh lari dari perbualan. Sesetengah ibu-bapa akan lari meninggalkan kita sebelum habis perkara yang hendak disampaikan.
3. Mereka dalam keadaan sihat. Cuba elakkan dari memulakan perbualan jika ibu bapa kita baru pulih dari serangan jantung atau stroke.

Where?

Pilih tempat yang bersesuaian dan sunyi. Jauh dari kekalutan dan orang sekeliling yang akan mendengar perbualan kita. Tempat yang paling baik adalah dirumah sendiri, di dalam masjid, tepi pantai, air terjun dan sebagainya dimana suasananya tenang.

Sebagai permulaan, banyakkan berdoa untuk kedua ibu bapa kita. Allah akan melembutkan hati mereka berdua dengan doa yang kita pohon, insyaAllah. Berdoalah untuk kesejahteraan mereka dan Allah akan mengembalikan kesejahteraan itu ke atas diri kita pula.



***

Bagi diri aku, alhamdulillah aku telah berjaya menyampaikan berita kecewa ini kepada ayahku. Aku pilih cara yang terbaik, ditempat yang paling mulia dan diwaktu ayahku berada dalam keadaan tenang. Alhamdulillah, Allah permudahkan. Walaupun aku tak mampu mengawal emosi, namun ayahku pula yang beriya-iya menenangkanku. Panjang istighfarnya, namun tak sedikit pun ada perkataan marah atau benci diluahkan. Ayahku mengajarku doa Nabi Yunus, dan berkata hidayah Allah terhadap setiap orang itu akan datang dalam berbagai cara. Mungkin untuk aku ia datang bersama hadiah Allah ini.


Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri

Aku bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang aku gelarkan "orang paling pemaaf dalam dunia". Mungkin kerana dirinya seorang guru dan personalitinya yang sentiasa positif dengan apa jua keadaan. Dia akan marah bila kena tempatnya, tapi nasihatnya akan datang selepas itu.

Niat utama aku membuka pekung di dada bukan untuk meminta simpati dari kedua orang tuaku. Aku tahu jika aku sakit tanpa diminta pasti mereka akan menjaga aku sedaya upaya. Aku sudah tidak lagi mampu menyembunyikan rahsia dari mereka, seperti ada sesuatu yang terbuku untuk dilepaskan. Selain itu, aku mendambakan doa dari mulut dan hati kedua ibu bapaku untuk ketenangan diri dan kesihatan yang berpanjangan. Doa manalah yang lebih mustajab untuk anak-anak melainkan doa ibu dan ayah sendiri. Alhamdulillah, Allah mengetahui kehendakku dan dipermudahkan untuk aku memberitahu mereka.

Buat sahabat-sahabat yang masih menyimpan rahsia, jangan terburu-buru dan tunggulah masa yang sesuai. Allah akan permudahkan jalan kearah itu. Teruskan berdoa untuk membina kekuatan diri dan mendapatkan ketenangan. Jika ada yang terbuku hendak diluahkan, ceritakan dulu kepada sahabat-sahabat worrior. Pasti ramai yang sudi mendengar dan membantu.



3 comments:

  1. Alhamdulilah...

    saya rasa ini artikel yang sangat baik dan terbaik.

    saya bila baca artikel awak saya dapat rasa betapa kuatnya dan positifnya ayah awak dari tulisan2 awak.

    Ayah yang positif lahirkan anak berjiwa kental.. bukan diri sendiri saja yang di kuatkan malahan orang lain.. good bro!

    wallahualam

    ReplyDelete