Thursday 24 October 2013

Control Your Anger!

Kawal kemarahan anda. Usap dada perlahan-lahan dan lafazkan istighfar sehingga tenang. Jangan lakukan apa-apa sehingga kita benar-benar yakin kita mampu mengawal kemarahan. Ini merupakan langkah pertama apabila berdepan dengan konflik atau menerima berita yang mengecewakan.

****

Isnin lepas, aku mengalami beberapa peristiwa yang benar-benar menyebabkan aku menyesal. Dalam pada itu, mengajar aku erti kesabaran tatkala berdepan dengan situasi yang menaikkan darah. Kerana ikutkan hati dan amarah, aku telah menyusahkan diri sendiri, keluargaku dan paling perit, banyak duitku melayang. Rugi dan menyesal usah dikata, tapi benda dah berlaku. Menyesal dan telan saja lah.

Pagi itu, aku dijadualkan mengambil satu assessment tahunan untuk kenaikan pangkat. Pagi-pagi lagi aku telah sampai dibilik yang ditetapkan, dan bersedia menunggu kehadiran 2 panel yang akan menilai prestasi aku. 1.5 jam menunggu seperti tunggul, masuk seorang staff memberitahu sesi aku dibatalkan kerana panel tersebut tidak dapat hadir. Aku menyirap, namun aku cuba mengawal perasaan didepan staff tersebut. Dalam nada protes, aku mengemas barang-barangku dan berlalu keluar tanpa menoleh.

Kemarahanku terpendam sekian lama sebenarnya. Ini merupakan kali ke 4 mereka menangguhkan sesi tersebut sejak Ogos lagi. Alasan sama, panel tidak dapat memberi komitmen, sedangkan mereka dambakan komitmen 110% dari staff bawahan. Cakap tak serupa bikin. Nasib lah, bekerja dengan orang. Begitupun, aku masih bersyukur :).

Aku kembali ke keretaku dan memandu pulang kerumah. Dek rasa marah yang amat sangat, tanganku sibuk menulis status FB & Twitter. Aku menelefon F, sambil terjerit-jerit melepaskan perasaan. Tangan kiriku memegang erat steering, sambil mengetap bibir. Entah bagaimana, disatu simpang aku hilang fokus dan..

BBBBAANNNGGGG!!

Tatkala aku tersedar, keretaku sudah mencium punggung sebuah lagi kereta, dipandu seorang wanita. Aku berhenti dan keluar melihat kesannya. Kaget. Bertambah-tambah api dalam hati. Aku bertekak dengan wanita itu menyalahkan satu sama lain. 

Lama selepas itu, seperti Allah membuka pandangan, aku tersedar yang aku telah bertindak diluar kawalan. Melampaui batasan adab dan menyalahkan taqdir. Cepat-cepat usapkan dada, dan duduk sebentar ditembok jalan. Aku pergi kepada wanita tadi dan memohon maaf. Syukur, dia pun melakukan yang sama. Aku ceritakan masalahku dan dia memahami. Business card bertukar tangan, dan kami berlalu pergi dengan persetujuan aku akan membayar segala kos baiki kedua-dua kereta. 

***

Aku ingin membawa sahabat-sahabat semua kepada hadith Rasulullah;

Suatu ketika, Rasulullahﷺbertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?”Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullahﷺ  lalu berkata,“Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas diajar oleh Rasulullah, bahawa mengawal kemarahan adalah salah satu kekuatan yang wajib ada dalam diri setiap dari kita. Hadith di atas menegaskan betapa pentingnya kita menahan diri daripada  sifat marah. Banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya kita berjaya menahan marah. Perkara mudah akan menjadi rumit, yang kecil akan merebak menjadi besar. 

Jadi, bagaimana mahu mengawal kemarahan?

1. Membaca Ta'awudh

A`ūdhu billāhi min ash-shaitāni r-rajīmi (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم). 

2. Ambil wudhu'dan minum air

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan oleh syaitan. Syaitan dijadikan daripada api oleh itu ingatlah bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan di anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas akibat marah. 

Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api.” (Riwayat Abu Daud).

Minum air!!!

3. Ubah posisi

Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila kamu marah dan ketika itu dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk kerana ia akan mehilangkan kemarahan Dan jika tidak, hendaklah dia berbaring.: (Riwayat Muslim)

Jangan marah-marah. Happy-happy selalu #tipsnaikkanCD4.

Sunday 13 October 2013

Eid-ul Adha!

Hari ini 14 Oktober 2013 merupakan hari dimana seluruh umat Islam yang sedang menunaikan Haji, berkumpul di Arafah untuk menunaikan rukun haji Wukuf. Wukuf merupakan kemuncak pekerjaan Haji, dimana setiap orang yang berniat mengejakan haji hendaklah berada didalam sempadan Arafah apabila masuknya waktu Zohor.

Aku masih teringat ayah berkata, Haji itu Wukuf. Sama ada orang itu sihat, sakit meskipun hampir ajalnya pun, pasti dibawa ke Arafah untuk berwukuf dengan ambulans dan kerusi roda. Itu kisah saudara-saudara kita di Makkah yang sedang mengabdikan diri kepada Allah.

Buat kita di sini, disunatkan berpuasa pada hari ini. Aku tahu entri ini lewat, tapi tidak salah mengingatkan dan berazam untuk berpuasa tahun hadapan. Kata Rasulullah:

Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah  ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Tapi, bagi orang yang berwukuf hari ini, Rasulullah melarang mereka berpuasa.

Dari Abi Hurairah r.a., ia berkata, “Rasulullah  telah melarang puasa pada hari Arafah di Padang Arafah.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Nasa-i, dan Ibnu Majah)

Banyak pendapat yang membahaskan tentang puasa hari Arafah, rajin-rajinkan membaca :)

Esok kita bakal menyambut satu lagi hari kebesaran Islam. Ambil peluang untuk bertemu rakan-rakan, bermaafan dan meperbaiki hubungan dengan keluarga. Mana-mana yang melaksanakan ibadah korban, rajin-rajinkan diri membantu dan ikhlaskan hati dalam setiap perbuatan kita. Jangan nanti tak dapat daging, merungut pula. 

Aku akan memandu pulang ke kampung petang nanti. InsyaAllah, esok bersama seluruh ahli keluarga kecilku. Doaku untuk semua. 

Thursday 3 October 2013

Cara Peringatan Paling Konsisten

Aku selalu berbicara tentang konsep insan. Insan itu sendiri maksudnya lupa, yang memerlukan peringatan demi peringatan secara berterusan atau dalam bahasa canggih sikit; konsisten.

Setiap manusia normal pasti akan sibuk dengan urusan harian, keluarga dan sebagainya. Lambat laun kita pasti akan lupa dan mengabaikan tuntutan, ujian dan kesusahan yang dialami sebelum ini. Aku pun bukan lah baik sangat. Sejak dah selesa dengan kehidupan baru ni, dah semakin lalai dan kehidupan kembali seperti biasa. Kadang-kadang terpikir juga, Allah dah tarik balik ke keinsafan yang diberikan beberapa ketika dulu.

Pikir punya pikir, aku jumpa satu cara untuk muhasabah dan memberi peringatan kepada diri sendiri yang paling mudah. Aktifkan diri dalam komuniti dan sertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Memang bukan mudah, tapi setiap dari kita mampu melakukan. Tidak juga besar modalnya, hanya perlu sertai, ambil kisah dan bantu mana termampu dengan nasihat & doa.

Untuk itu, aku mengajak sahabat-sahabat semua menyertai program dibawah.


Program pendek, sekejap juga. Terbuka kepada sesiapa yang berminat. Positive, negative, lelaki, perempuan, tengah-tengah, semua boleh join. InsyaAllah, dari penyertaan dalam aktiviti sebegini, kita akan lebih sedar siapa diri kita dan sentiasa beringat. Masih tak terlambat.

Yang paling penting, aku nak promosikan website http://www.amalfirdausi.org

Banyak informasi, ilmu dan pengisian yang boleh sahabat-sahabat dapat disana. InsyaAllah.

Nak jumpa hismaghfirah? Aku akan berada di sana esok.

#perasanretisss haha