Saturday 30 November 2013

Perginya Seorang Sahabat

3:185

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali-Imran, 3:185)

Ketika ini, aku masih lagi runsing dan dalam kesedihan. Bukan kerana aku tidak dapat menerima taqdir Allah dan redha atas segala yang berlaku, tetapi kenangan sejak bertahun-tahun silih berganti datang. Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati aku, dan sahabat-sahabat karibku yang lain.

Malam Rabu lepas, aku dikejutkan dengan beberapa gambar dan message di Whatsapp group rakan-rakanku tentang satu kemalangan. Salah seorang rakan baik kami telah mengalami kemalangan ketika pulang dari tempat kerja, dan keadaan kemalangan itu sangat menyedihkan. Aku kaget ketika membaca berita itu, dan air mataku meluncur laju tanpa aku sedari. Aku meraung sendirian di dalam kereta sambil memandu pulang.

Utama difikiranku ketika itu, aku mengharapkan berita itu tidak benar dan yang meninggal bukanlah sahabat baikku, tetapi orang lain yang memandu keretanya. Tapi selepas beberapa ketika, rakan-rakanku mengesahkan yang simati adalah rakan kami. Allah, sedihnya tidak dapat digambarkan.

Sahabat yang meninggalkan kami itu adalah rakan baik sejak dibangku sekolah. Kami tinggal bersama di asrama sehingga habis sekolah memengah, melanjutkan pelajaran di universiti yang sama, kelas yang sama, serumah selama 5 tahun dan sehingga itu masih berhubungan setiap hari. Aku amat lemah apabila menerima berita yang mengejutkan dan menyedihkan. Jujur aku katakan, aku menangis semahu-mahunya tanpa kawalan. Sejak mula didiagnos dulu, aku tidak lagi pernah menangis seteruk ini sehinggalah berita kemalangan itu aku ketahui.

Setiap dari kami menangis. Kenangannya terlalu banyak. Dan sahabat kami itu adalah yang paling mesra, manja dan pemalu. Tidak siapa menjangkakan dia dahulu yang akan pergi meninggalkan kami.

Berpegang pada ayat cliche di ataslah, aku sedikit demi sedikit mengumpul kekuatan. Kembali kepada kewarasan tentang taqdir Allah dan ketentuanNya yang tidak sedikit pun kita mampu jangkakan. Sesiapa sahaja mampu dijemput pergi tanpa sebarang amaran dan tanda. Allahuakbar!

Sesungguhnya, pemergian sahabat aku ini membawa kesedihan yang sangat besar. Dan peringatan yang amat keras dan mendalam untuk diriku. Allahuakbar! Ampunkan dosaku ya Allah dan berikanlah aku peluang dan hidayah untuk bertaubat sebelum ajalku. Janganlah engkau ambil nyawakau dalam keadaan aku berhutang, berdosa dan hina!

Setiap dari kita pasti akan menemui ajal. Sama ada kita mahu bersedia atau tidak, diri sendiri sahaja yang mampu menjawabnya. Peringatan ada disekeliling. Jangan kata yang memiliki hadiah Allah seperti aku ini lebih tinggi kebarangkalian untuk mati, yang sihat walafiat pun tidak dapat lari dan menjangka bila akan tiba waktunya. Bersedia sahajalah!

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (petikan An-Nisa', 4:78)

Wednesday 13 November 2013

NO CHANCE!

Masih tidak terlalu lambat untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah, dengan harapan tahun baru ini akan membawa lebih kebaikan, kesihatan, iman dan kasih-sayang Allah kepada kita semua.

Hari ini sekali lagi aku menjalani rutin setiap empat bulan sebagai seorang hamba yang diberikan hadiah istimewa dari Allah swt. Pagi-pagi lagi aku bersiap menuju ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan keputusan ujian darahku dan berjumpa doktor. Aku saampai agak lambat, kira-kira jam 8.15 pagi. Nombor giliran 1081. Namum penantianku  tidak begitu lama kerana pagi tadi tidak ramai yang berjumpa doktor.

Dr Leong dengan tenang memberikan bacaan terkini CD4 aku. Jujurnya aku terkejut kerana tidak menjangka bacaan itu jatuh mendadak berbanding 4 bulan lepas. Tapi masih belum d paras aku perlu memulakan HAART. Alhamdulillah, masih mampu bertahan. Yang aku kesal, mungkin kerana salah aku sendiri, tabiat harian, pemakanan, stress dan faktor-faktor lain menyebabkan CD4 count aku jatuh.

Aku berfikir kembali apa yang kurang aku lakukan sejak beberapa bulan lepas. Memang aku sudah malas mengambil madu, dan tidak betul-betul patuh pada rejim buah, sayuran dan makanan-makanan sunnah lain. Aku juga sedar yang aku semakin jauh dengan Allah. Kurang mengaji dan sembahyang aku ringan-ringankan. Doa pula sekadar cukup makan, ikhlas di hati entah kemana.

Ya Allah, ampunkan hambaMu ini. Aku sedar dan bersyukur atas peringatan yang kau berikan kembali hari ini. Aku bertekad untuk menjadi lebih baik selepas ini dan cuba bertahan selama mungkin untuk tidak mengambil HAART. Dan aku tahu, tidak mustahil untuk aku menaikkan kembali bacaan CD4 itu. Bak kta Dr Leong "Its a dynamic reading, you can never expect!"

***

Setiap kali berjumpa doktor, aku tidak akan melepaskan peluang bertanya soalan-soalan berkaitan dan tips-tip kesihatan. Hari ini aku bertanyakan tentang peratusan dari segi nombor dan kebarangkalian jangkitan melalui seks. Berapa peratus kebarangkalian untuk jangkitan dari lelaki positif kepada wanita negatif dan sebaliknya? What are the odds for negative receptive gay man to get from positive giving and the other way?

Memang sifat semula jadi aku sebagai seorang yang hidup dengan nombor dan kira-kira. Jadi aku perlu tahu untuk memuaskan hati. Dr Leong tersenyum. Senang saja jawapannya.

NO CHANCE!

Memang terdapat perbezaan kebarangkalian antara yang memberi dan menerima. Sudah pasti yang menerima lebih berisiko dan kebarangkaliannya lebih besar, tapi jangan sesekali beri peluang!

GIVE NO CHANCE AT ALL FOR IT TO SPREAD because we don't know! USE PROTECTION!

Simple. Tapi keras peringatan itu. Jangan ambil risiko lansung. Aku tersedar. Tidak guna kita berkira-kira sedangkan kita boleh mengelak terus dari sebarang kebarangkalian. Peringatan mudah itu amat bermakna untuk aku. Dan lebih bermakna untuk mereka-mereka seperti aku yang masih tidak memulakan HAART, yang  viral loading masih tinggi.

Aku meninggalkan klinik tersebut dengan sedikit kegusaran, tapi lebih keredhaan. Peluang masih terbuka untuk aku dan sahabt-sahabat untuk menjadi lebih baik. Oh, aku ditemuramah juga oleh seorang pakar pemakanan cantik yang menjalankan kajian mengenai makanan tambahan untuk PLHIV (saya tahu awak membaca blog saya, sila tinggalkan nombor :). InsyaAllah banyak tips yang boleh dikongsikan disini.

Kita sama-sama mengingatkan!