Tuesday 5 March 2013

Hidup ini Jihad; Besar dan Kecil

Satu Malaya kecoh. Pencerobohon di Sabah bukan lagi isu kecil bualan pagi-pagi, sekarang sudah jadi isu utama negara, bakal di catat dalam sejarah sampai bila-bila.

Akus sekadar mendengar, membaca, mengambil tahu dan mampu berdoa. Selebihnya, aku tahu aku tidak berupaya memikul senjata atau menyumbang wang ringgit. Tapi doa itu kan senjata terkuat bagi seorang Muslim, dan umat Islam. Aku kirimkan doa untuk keselamatan pejuang kita dan supaya cepatnya selesai tragedi di Sabah itu.

Polis, tentera dan pasukan keselamatan lain itu berjihad. Berjihad mempertahankan kedaulatan tanah air. Tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal mencari rezeki, dan mungkin tempat kita akan mati nanti. Mungkin  di sabah itu tidak tepat dikatakan berjihad mempertahankan agama. Tapi berkorban nyawa untuk memastikan negara ini tidak diceroboh adalah jihad juga dalam Islam.

Walaupun aku jauh dari tempat bergolak itu, tapi aku faham benar bagaimana perasaan para pejuang kita. Aku pernah berada di situasi itu, bila keselamatan, perasaan takut dan nyawa menjadi mainan. Dijadikan pertaruhan. Berdebar, takut, resah segalanya datang. Tanpa semangat yang melangit dan berserah segala-galanya kepada Allah, tak mungkin mereka mampu berada di sana. Dan buat mereka yang ditinggalkan, keluarga anak isteri ibu bapa adik-beradik, tentu sukar melelapkan mata. Pasti sekali risau siang malam sehingga yang tersayang pulang ke depan mata. Bukan sedikit kekuatan diperlukan untuk melawan perasaan dan emosi.

Jihad itu sendiri bermaksud bersungguh-sungguh. Melakukan sesuatu sepenuh hati untuk mencapat matlamat dan cita-cita yang baik dan dibenarkan.

Jihad melawan musuh, mempertahankan negara, menegakkan agama masih dikira jihad kecil. Walaupun martabatnya sangat tinggi disisi Islam, tapi masih ada lagi jihad yang lebih utama.

Yang utama, berjuang melawan kehendak dan tuntutan nafsu dalam diri sendiri. Biar apa pun kehendak itu, jika bertentangan dengan syarak dan Islam, hendaklah diperangi. Susah bukan? Kalau orang bersenapang depan mata kita nampak, boleh di tangkap dan dikurung. Lepas tu tak nampak lagi. Tapi kalau nafsu sendiri, berapa lama boleh dikurung? Pasti ia datang kembali. Dan kerana itu lah, Nabi SAW bersabda;

"Sesungguhnya musuh yang paling ketat adalah diantara lambungmu"

Tanpa iman, ilmu, hidayah Allah dan persekitaran yang baik, aku pasti tiada yang mampu melawan musuh dalaman yang sangat hebat ini. Aku sendiri sentiasa tewas, dan perjuangan ini berterusan. Memang Allah turunkan ujian maha dahsyat ini untuk melihat hambanya yang mana betul-betul ingat dan patuh pada segala suruhan dan meninggalkan larangan.

Perjuangan melawan nafsu dan menegakkan akidah itu pasti dilalui setiap manusia. Tiada yang terkecuali, melainkan mereka yang kurang waras dan anak kecil . Tapi, peluang melakuan jihad kecil juga tidak mahu aku lepaskan. Aku tahu aku tak layak membidik senapang, tapi aku akan berjuang dengan caraku sendiri.

Denagn hadiah Allah ini dalam diriku, aku bertekad untuk membantu dan membetulkan mana yang terdaya. Banyak insan yang senasib perlukan bantuan, dan dengan kudrat dan ilmu yang sedikit ini aku ingin melakukan sesuatu untuk mengubah nasib mereka. Biarlah semuanya gembira dan mendapat rahmat Allah. Masyarakat kini juga penuh dengan masalah duniawi. Tidak terhitung, berbagai-bagai. Ia bagaikan wabak yang memakan diri perlahan-lahan dan kelamaan akan memusnahkan nilai-nilai mulia. Mungkin aku boleh melakukan sesuatu untuk mengubah dan mengubat wabak ini.

Aku tahu ada mereka-mereka yang akan berjuang bersamaku. Mereka-mereka yang membaca cebisan tulisan aku ini. Bukankah ini jihad juga?

3 comments:

  1. cewah ayat perenggan akhir x boleh blah betul ka :)

    ReplyDelete
  2. awat, tak betui ka?

    saya tahu banyak insan mulia diluar sana yang penuh semangat cuba membantu membetulkan keadaan. semoga usaha itu diberkati Allah swt.

    ReplyDelete
  3. ..bertuah..saya antara yg mmbaca.

    ReplyDelete