I was in my car quarter to twelve in the morning, driving to the hospital and arriving 30 minutes after that.
Check-up semalam merupakan yang pertama buat diriku selepas kali pertama datang bulan lepas. Terus terang aku katakan aku sedikit takut dan perasaan malu itu masih ada. Tapi aku gagahkan, pedulikan kata orang. Yang penting rawatan terbaik harus aku terima. Dan aku tahu di situlah banyak doktor dan kakitangan berpengalaman mampu membantu.
Khamis merupakan hari yang dikhususkan untuk warga negara asing mendapatkan rawatan. Penuhkan ruang menunggu dengan perbagai macam manusia dari segala bangsa. Ada yang berselubung, ada yang merah mata dan tak kurang yang menggunakan penutup mulut. Tapi kebanyakannya kelihatan susah dan bekerja berat.
Jujurnya, aku sedikit paranoid. Tapi ingatan pada Allah menguatkan aku, mereka ini barangkali senasib dan mungkin lebih mulia dari aku sendiri. Tidak sedikit terdetik dalam hatiku untuk melabel atau beranggapan buruk, kerana aku tahu ketentuan Allah itu sangat adil dan penuh hikmah. Sedikit demi sedikit timbul rasa keinsafan dan perasaan bersyukur atas apa yang aku miliki sekarang.
Aku bukanlah orang paling malang dan tidak beruntung dalam dunia ini. Masa depanku bukanlah yang paling gelap jika dibandingkan dengan orang lain. Dan keadaan kesihatanku bukan paling kronik yang pernah dialami oleh mana-mana manusia.
Aku insaf. Sedalam-dalamnya. Allah itu Maha Kuasa, Dia mampu mernyedarkan dan membuka mata kita bila dikehendakiNya. Sebelum ini aku jarang sekali memikirkan perkara selain kehidupan harianku, masalah masyarakat dan kesusahan insan lain. Tapi hikmah hadiah Allah ini, aku kini sedar dan mampu melihat lebih banyak tanda kebesaran dan keadilan Allah s.w.t.
***
Tiba-tiba beberapa kanak-kanak berlarian. Gembira penuh gelak tawa. Paling besar pun mungkin 5 tahun. Semuanya bertutur bahasa yang tidak aku fahami, dan mereka dibawa beberapa insan yang berkemeja dengan tulisan "UNHCR Volunteer". Mereka keluar masuk bilik doktor dengan kanak-kanak tadi, seorang demi seorang.
Kemudian datang seorang gadis caucasian. Rambut perang dengan baju serba merah jambu. Cantik! Kanak-kanak tadi berlari mendapatkan gadis tersebut, dan dia memeluk setiap anak-anak tadi, mencium dan memberi makanan seperti darah daging sendiri. Aku pasti mereka bukan anak-anak gadis tadi. Dan aku masih keliru dengan apa yang aku lihat.
"Mereka anak-anak yang dilahirkan dengan hadiah Allah ini, tanpa ibubapa. Volunteer tu lah yang jaga." ujar kaunselor ku.
Aku tergamam. Cuba menahan air mata.
Apa dosa mereka? Apa yang mereka lakukan sehingga Allah menentukan mereka begini? Sekecil itu, apa yang mereka tahu? Dikala manusia sebaya mereka yang lain bermain dan hidup sihat, mereka berhadapan dengan hadiah Allah ini. Tak mungkin mereka faham tentang liku-liku hidup, sehingga tiba masanya nanti.
Aku termenung sendirian, berfikir. Solat zohorku tengah hari hampir terganggu.
Jika dibandingkan, aku beratus kali lebih beruntung. Tidak dapat digambarkan betapa aku sangat bersyukur dengan apa yang aku miliki.
Kanak-kanak tadi aku pasti suci seperti kain putih. Jauh dari dosa. Jangan dipersoalkan keadilan Allah. Mungkin taqdir mereka begitu disebabkan khilaf ibu bapa mereka. Dan ketentuan Allah ini merupakan ujian buat kita yang melihat, jururawat yang membantu dan doktor-doktor yang bertanggungjawab. Ia merupakan cabaran besar buat kita semua, sebagai khalifah Allah. Wajib ke atas kita semua, terutama mereka yang mempunyai kuasa untuk membantu. Mungkin Allah sebenarnya bukan menguji anak-anak ini, tapi kita semua.
Perbualan aku petang itu dengan kaunselor banyak membuka mata. Bukan mudah perjuangan mereka, perjuangan yang perlu ditempuhi dari lahir. Dan cabaran untuk doktor dan juruwat tidak kurang hebatnya. Cabaran peribadi aku? Jauh sekali lebih mudah jika dibezakan.
Ya Allah, berikan ketabahan hati kepada kami semua dan permudahkanlah urusan kami.
(bersambung part 2)
Nak kongsi cerita dengan kamu
ReplyDeletehurmm masa saya pergi JAKIM ada doc cerita pesakitnya berumur 21 tahun berkahwin ketika berumur 19 tahun, dia adalah anak yang di lahirkan dengan hadiah ...dia dah ada 2 anak sekarang dan anaknya bebas ..syukur.. nikmat Allah kn besar..
Betul ke? SubhanAllah. Hebatnya ketentuan dan taqdirNya. Sy nak dengar cerita ni lagi. Boleh emailkan saya?
ReplyDelete