Wednesday, 24 April 2013

Ujian atau Hukuman?



Hari ke-100. Alhamdulillah aku masih sihat dan mampu berfikir tentang tanda kebesaranNya.

Sebenarnya, entri ini sudah lama aku mulakan. Tapi dek kekangan masa dan idea, hanya hari ini aku berjaya menyudahkannya. Renungkan ayat di bawah.


29:2
29:3
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankaboot, 29:2-3)

Sebagaimana difahami umum, ujian bermaksud suatu situasi atau keadaan yang diturunkan kepada manusia, bertujuan untuk melihat sejauh mana hamba mengingatiNya. Hukuman pula bermaksud kesusahan atau azab yang diturunkan kepada manusia atas kekhilafan atau dosa yang dilakukan. Kita simpan dulu maksud ini, dan aku akan merungkaikannya di akhir entri ini.

Manusia diuji oleh Allah s.w.t dalam dua cara. Ada kalanya manusia dikurniakan dengan berbagai nikmat dan kesenangan untuk melihat sejauh mana dia bersyukur kepada penciptaNya. Perasaan bersyukur dan berterima kasih itu  bukan sahaja melalui perkataan yang diucapkankan, tetapi juga dalam menyempurnakan segala tuntutan yang datang dari nikmat itu.

Sebaliknya, ada manusia yang diuji dengan kesusahan, penyakit dan bila sesuatu yang dikasihi diambil kembali untuk melihat adakah dia bersabar. Sifat redha, sabar dan penuh yakin dengan ketentuan Allah adalah perkara yang dituntut dengan ujian jenis kedua ini. Ujian jenis kedua ini juga bertujuan untuk menghapuskan dosa dan memberi bonus pahala kepada hambaNya.

Ada kalanya, Allah memilih hamba yang tertentu, berdasarkan pengetahuanNya yang Maha Luas, untuk menunjukkan ketaqwaan dan keredhaan hambaNya kepada mereka disekeliling. Dalam hal ini, tujuan utama Allah menurunkan ujian yang amat berat terhadap individu itu adalah untuk mengajar manusia tentang perlakuan/reaksi yang sepatutnya apabila menerima ujian Allah. Contoh terbaik dalam hal ini adalah ujian yang diturunkan kepada para anbiya' dan sahabat-sahabat Rasulullah yang berjuang di awal kemunculan Islam. Ketinggian ketaqwaan mereka itu kekal menjadi idol dan kekuatan kita sehingga hari ini.

***

Dalam konteks berdepan dengan hadiah Allah yang aku dan rakan-rakan hadapi hari ini, aku akui pada mulanya aku menganggap semua ini merupakan hukuman Allah ke atas diriku. Allah menurunkan musibah dalam bentuk penyakit kepada diriku dan aku hampir berputus asa untuk hidup. Aku rasakan semuanya sudah berakhir dan tidak ada harapan lagi. Tetapi perlahan-lahan aku bina kekuatan diri, kembali percaya dengan qada & qadar dan redha atas apa yang berlaku sehinggalah apa yang aku ada pada hari ini.

Hari ini tidak sedikit pun terdetik dalam hati yang aku masih menanggung hukuman Allah. Malah sekarang aku mampu berfikir sebaliknya. Segala kesusahan, kesakitan dan resah hati dengan hadiah ini aku anggap sebagai ujian dari Allah sahaja, sebagaimana yang diturunkan kepada setiap orang dari kita.

Segala kesusahan, musibah, sakit, sedih itu semua aku anggap hanya dugaan sementara. Ia tidak akan kekal dan sentiasa pergi dan datang. Lain orang lain cerita, dan begitu juga lah dengan ujian yang dihadapi. Bersabar dan redha. Dan bangkit kembali. Itu saja.

Dalam ayat Surah Al-Ankaboot di atas, sangat jelas Allah firmankan; betapa tinggi keimanan kamu, apabila ditimpakan dengan kesusahan atau kesenangan? Tidak sedikit pun disebut Allah menurunkan ujian ke atas hambaNya diluar kemampuan.

45:10
Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelematkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar. (Al-Jathiyat, 45:10)

Bedasarkan ayat Al-Jathiyat di atas, aku berpendapat hukuman Allah itu adalah apabila seseorang hamba itu telah mati. Kita banyak mendengar bahawa Allah akan menyiksa hamba yang mungkar di dalam kubur, dan diikuti azab yang amat berat di akhirat. Perkara ini jelas dihuraikan dalam berpuluh-puluh ayat Al-Quran dan dipersetujui oleh sekelian ulama. 

Jadi, selagi seorang manusia itu belum mati, bukankan setiap kesulitan itu hanya ujian yang bersifat sementara? Ia bukan hukuman Allah kerana hukuman sebenar hanya akan berlaku selepas nyawa ditarik nanti. Dan selagi nyawa masih di badan, bukan kan kita masih berpeluang untuk bertaubat dan membetulkan mana yang patut?

Sama-sama kita fikirkan.


1 comment:

  1. entahlah saya lebih suka erfikir apa yang jadi kat diri saya adalah ujian dan itu akan menjadikan diri saya lebih baik.. selalu positif wallahualam

    ReplyDelete