Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali-Imran, 3:185)
Ketika ini, aku masih lagi runsing dan dalam kesedihan. Bukan kerana aku tidak dapat menerima taqdir Allah dan redha atas segala yang berlaku, tetapi kenangan sejak bertahun-tahun silih berganti datang. Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya hati aku, dan sahabat-sahabat karibku yang lain.
Malam Rabu lepas, aku dikejutkan dengan beberapa gambar dan message di Whatsapp group rakan-rakanku tentang satu kemalangan. Salah seorang rakan baik kami telah mengalami kemalangan ketika pulang dari tempat kerja, dan keadaan kemalangan itu sangat menyedihkan. Aku kaget ketika membaca berita itu, dan air mataku meluncur laju tanpa aku sedari. Aku meraung sendirian di dalam kereta sambil memandu pulang.
Utama difikiranku ketika itu, aku mengharapkan berita itu tidak benar dan yang meninggal bukanlah sahabat baikku, tetapi orang lain yang memandu keretanya. Tapi selepas beberapa ketika, rakan-rakanku mengesahkan yang simati adalah rakan kami. Allah, sedihnya tidak dapat digambarkan.
Sahabat yang meninggalkan kami itu adalah rakan baik sejak dibangku sekolah. Kami tinggal bersama di asrama sehingga habis sekolah memengah, melanjutkan pelajaran di universiti yang sama, kelas yang sama, serumah selama 5 tahun dan sehingga itu masih berhubungan setiap hari. Aku amat lemah apabila menerima berita yang mengejutkan dan menyedihkan. Jujur aku katakan, aku menangis semahu-mahunya tanpa kawalan. Sejak mula didiagnos dulu, aku tidak lagi pernah menangis seteruk ini sehinggalah berita kemalangan itu aku ketahui.
Setiap dari kami menangis. Kenangannya terlalu banyak. Dan sahabat kami itu adalah yang paling mesra, manja dan pemalu. Tidak siapa menjangkakan dia dahulu yang akan pergi meninggalkan kami.
Berpegang pada ayat cliche di ataslah, aku sedikit demi sedikit mengumpul kekuatan. Kembali kepada kewarasan tentang taqdir Allah dan ketentuanNya yang tidak sedikit pun kita mampu jangkakan. Sesiapa sahaja mampu dijemput pergi tanpa sebarang amaran dan tanda. Allahuakbar!
Sesungguhnya, pemergian sahabat aku ini membawa kesedihan yang sangat besar. Dan peringatan yang amat keras dan mendalam untuk diriku. Allahuakbar! Ampunkan dosaku ya Allah dan berikanlah aku peluang dan hidayah untuk bertaubat sebelum ajalku. Janganlah engkau ambil nyawakau dalam keadaan aku berhutang, berdosa dan hina!
Setiap dari kita pasti akan menemui ajal. Sama ada kita mahu bersedia atau tidak, diri sendiri sahaja yang mampu menjawabnya. Peringatan ada disekeliling. Jangan kata yang memiliki hadiah Allah seperti aku ini lebih tinggi kebarangkalian untuk mati, yang sihat walafiat pun tidak dapat lari dan menjangka bila akan tiba waktunya. Bersedia sahajalah!
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (petikan An-Nisa', 4:78)